Labels

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Saturday, June 29, 2013

Yamaguchi: Lelaki yang melukis kopi

Syafique Shuib | Kemas kini: Jun 29, 2013
Yamaguchi: Lelaki yang melukis kopi
KUALA LUMPUR:  Melihat seorang barista membuat melukis di atas buih latte, iaitu satu kaedah melakar corak menggunakan susu skim diatas espresso kelihatan mudah.

Namun ia memerlukan kemahiran untuk melukis buih latte yang kreatif dan artistik.

Junichi Yamaguchi adalah seorang barista disebalik corak ‘Ballerina’ yang telah menjadi sinonim dengan beliau. Jika peminat kopi sedang asyik mengambil gambar corak berkenaan dan memuat naik ke akaun Instagram, Yamaguchi mendapat kepuasan jika corak beliau mendapat perhatian pelanggan.

“Saya gembira jika pelanggan tersenyum melihat corak buih latte hasil saya,” kata barista yang berusia 33 tahun yang kini bekerja di Tokyo.

Seperti kerjaya beliau yang bertukar dari bekerja di kedai jualan produk India ke seorang barista, corak ‘Ballerina’ juga datang seperti satu kejutan.

Ballerina

“Saya sedang mencuba melukis beberapa corak secara suka-suka dan tetiba saya melakar corak ‘Ballerina’. Ia berlaku secara tidak langsung kerana saya sedang bermain dengan imaginasi saya,” kata beliau.

Yamaguchi boleh dikatakan sebagai artis latte yang belajar seorang diri. Beliau tidak menggunakan perkhidmatan guru atau pakar dalam seni melakar buih latte. Beliau menggunakan YouTube dan buku sahaja.

Kejayaan beliau bukanlah datang dengan mudah.

“Saya mencuba selama empat tahun dan menggunakan 10 litre susu setiap hari,” kata beliau.
Hasilnya?

“Ia tidak menjadi... tiada seni buih latte,” kata beliau sambil mengenang tentang percubaan awal beliau.

Ada masanya beliau mahu melupakan sahaja tentang seni ini. Sahabat dan ahli keluarga juga tidak berminat dengan seni ini dan secara tidak langsung tidak memberikan sebarang dorongan atau motivasi.

Beliau juga kenal beberapa artis seni melakar buih latte namun beliau lebih selesa untuk anggap mereka sebagai pesaing. Yamaguchi merasakan beliau harus menghasilkan seni beliau sendiri tanpa meniru siapa-siapa.

Setahun selepas percubaan beliau, Yamaguchi berjaya untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dianggap sebagai seni lukisan buih latte.

“Saya tidak mendapat lupakan saat itu dimana saya berjaya untuk melukis sesuatu yang cantik. Itu adalah saat yang paling mengembirakan. Saya begitu terharu,” kata beliau.

Ini hanyalah permulaan beliau dalam seni ini sebelum berjaya untuk menghasilkan beberapa corak lain.

Patterns

Saat yang paling mencabar apabila beliau memasuki pertandingan. Pertandingan pertama beliau adalah di Coffee Fest Latte Art World Championship di Seattle pada tahun 2011. Pada tahun ini, beliau berjaya menduduki tempat kedua di pertandingan yang sama yang diadakan di Chicago.

Beliau kini ke seluruh dunia untuk mengajar barista dan peminat kopi untuk menghasilkan seni lukisan buih latte. Baru-baru ini beliau ke Filipina, Hong Kong, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Seperti mana beliau berjaya menghasilkan corak beliau sendiri yang dianggap sebagai ‘signature style’, Yamaguchi mahu anak didik beliau untuk menghasilkan corak mereka sendiri.

“Setakat ini, tiada sesiapa yang boleh melukis garis halus seperi saya. Saya mahu generasi baharu untuk terus mencuba supaya boleh berjaya dalam seni ini dan melukis corak mereka sendiri.

“Mereka harus minat dalam seni ini. Oh, mereka juga harus ada guru untuk memberi tunjuk ajar supaya tidak harus menunggu sampai empat tahun seperti saya,” kata beliau sambil tertawa sebelum mengakhiri perbualan kami. 

Mari kita lihat Yamaguchi menunjuk cara-cara untuk melukis beberapa corak ‘signature’ beliau:

Berita mula diterbitkan pada: Jun 28, 2013 22:41 MYT

Friday, June 28, 2013

Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan hisap shisha

Bernama | Kemas kini: Jun 28, 2013
Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan hisap shisha
KANGAR:  Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.

Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.

Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.

"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa.
Berita mula diterbitkan pada: Jun 28, 2013 18:26 MYT

Tuesday, June 25, 2013

Hujan air batu landa Singapura petang tadi


Astro Awani | Kemas kini: Jun 25, 2013
Hujan air batu landa Singapura petang tadi
KUALA LUMPUR:  Selepas lebih seminggu berdepan dengan masalah jerebu buruk, Singapura hari ini dilanda hujan batu.

Ia melanda beberapa kawasan di pulau berkenaan antaranya Jurong, Bukit Batok dan Choa Chu Kang kira-kira pukul 3 petang tadi.

Fenomena hujan batu ini menarik perhatian orang ramai yang berkongsi gambar dan video di laman sosial.

Menurut Agensi Alam Sekitar Singapura, ia merupakan kejadian pertama sejak 2008.

Berdasarkan imej yang dirakam, ketulan hujan batu dianggarkan mempunyai diameter antara lima hingga 50 milimeter.

Pemilik akaun laman sosial Facebook yang memuatnaik video tersebut, Jazly Bear berkata, ketulan hujan batu yang turun adalah sebesar duit syiling lima sen.

Jazly Bear: “Yeap. Size of 5 cent coins.”

Video yang memaparkan kejadian hujan batu itu mendapat lebih daripada 2,000 ‘shares’ dan lebih daripada 370 ‘like’ di laman Facebook. Antara komen di video tersebut adalah:

Khairul Arifin: "well at least its free ice"

Wayne Cheng: "How cool would it be if it snowed instead of hail."

Ina Aris: "OMG SO SCARY!"

Hujan lebat ini sangat dialu-alukan oleh rakyat Singapura yang baru-baru ini mengalami jerebu teruk lebih seminggu  disebabkan oleh kebakaran hutan di Indonesia.

Kualiti udara di Singapura pernah berada di paras bahaya dengan bacaan IPU melebihi paras 300 ketika minggu pertama Jerebu melanda republik tersebut.

Berita mula diterbitkan pada: Jun 25, 2013 19:30 MYT