Labels

Saturday, April 27, 2013

Berwudhu' Di Atas Lapisan Solek.


Perbincangan ini lebih tepat ditujukan kepada para wanita yang hendak berwudhu' lalu di tangan atau di muka terdapat lapisan alat-alat solek seperti pewarna kuku, bedak, maskara dan berbagai lagi. Maka timbul pula persoalan - Adakah dibolehkan berwudhu' di atas lapisan-lapisan solek tersebut atau adakah ia perlu dibasuh dan dihilangkan terlebih dahulu ? Atau adakah sebarang kemudahan hukum agama terhadapnya ?



Bagi memberikan jawapan yang jelas, perhatian dibawa kepada ayat al-Qur'an yang mensyari'atkan wudhu', iaitu firman Allah Azza waJalla: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudu'lah) iaitu BASUHLAH muka kamu, dan kedua belah tangah kamu ;meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. [Maksud surah al-Maidah 05 - 06]. Dari ayat di atas, perkataan maka basuhlah berasal dari Bhs. Arab - membawa maksud dalam hukum tafsir sebagai 'mengalirkan air atas sesuatu untuk menghilangkan kotoran yang melekat padanya.' [1]

Maka apabila kita berwudhu' , adalah dituntut supaya setiap anggota yang wajib dibasuh itu dikenakan air yang mengalir bagi memenuhi syarat wudhu' sebagaimana perintah ayat al-Qur'an di atas. Termasuk dalam tuntutan ini ialah meratakan air di seluruh kawasan anggota wudhu' tersebut. Apabila ada suatu bahagian atau kawasan yang tidak kena air, samada kerana ia diliputi sesuatu atau kerana air tidak sampai kepadanya maka wudhu' tersebut tidaklah sah. Pernah sekali Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melihat beberapa orang di kalangan para sahabat yang baru selesai berwudhu' tetapi tumit kaki mereka kelihatan kering tidak disentuh air. Maka beliau memerintah mereka agar mengulangi semula wudhu' tersebut dan meratakan air dengan sempurna di setiap bahagian anggota wudhu' yang wajib dibasuh.[2]

Walaubagaimanapun berbeza hukumnya dengan pembasuhan kepala dalam etika berwudhu'. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman dalam ayat yang sama di atas ……dan sapulah sebahagian dari kepala kamu……. Perkataan dan sapulah berasal dari Bahasa Arab yang mengandung erti dalam hukum tafsir sebagai menyentuh bahagian tanpa mengalirkan air.[3] Justeru itu para fuqaha menyatakan bahawa pembasuhan kepala adalah menepati syarat hukum dengan melalukan tangan yang basah di atasnya.[4] Oleh itu apabila seseorang itu berwudhu' dia tidak perlu membasuh kepalanya dengan air yang mengalir sebagaimana dia membasuh muka, tangan dan kakinya.

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa setiap anggota wudhu' kecuali kepala perlu dibasuh dengan sempurna. Wajib dialirkan dan diratakan air pada keseluruhan bahagiannya. Oleh itu jikalau ada bahagian yang tidak terkena air atau terlindung di sebalik sesuatu yang kalis air seperti lapisan solek atau krim pelembab atau minyak atau cat atau debu tebal atau apa-apa yang seumpama maka wudhu' tersebut adalah tidak sah.[5]

Dengan ini jelas menunjukkan bahawa jika alat solek seperti maskara itu kalis air (menahan dari air sampai kulit dibahagian wudhuk) maka wudhuk itu tidak sah. Jika jelas wudhuk tidak sah,maka solat juga tidak sah. Jadi pastikan dahulu adakah alat solek yang tidak tertanggal habis itu tidak kalis air.

Allahu'alam

Rujukan :

[1] Shaikh Ali as-Shabuni - Tafsir Ayat-ayat Hukum al-Qur'an, 1/935, Shaikh Ahmad Mustafa Maraghi - Tafsir al-Maraghi, 5/118.

[2] Maksud pengajaran hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0139.

[3] Imam as-Suyuti - Tafsir Jalalain, 1/450.

[4] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/200.

[5] Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/110-118.

sumber: halaqah.net

No comments:

Post a Comment